oleh: zizi hashim
25 Aug
25Aug

Hidup sering menyerupai lautan ganas: hanya yang berani berenang tanpa henti mampu bertahan. Itulah falsafah yang meresap ke dalam nadi Shark: The Storm, sekuel terbaru dari Korea Selatan yang akan ditayangkan secara eksklusif di Tonton pada 29 Ogos 2025. Drama ini menghidupkan kembali kisah Cha Woo-sol, lakonan KIM Min-Seok, yang kali ini terperangkap antara impian dan gelapnya dunia pertarungan haram.

Mengangkat benang merah dari Shark: The Beginning (2021), naratif bermula selepas Woo-sol keluar dari penjara. Dengan tekad baru, dia bekerja sambilan di sebuah gim, berusaha mendekati cita-citanya sebagai atlet seni bela diri campuran (MMA) profesional. Namun, setiap detik masih dihantui sejarah silamnya sebagai bekas banduan. “Luka lama itu seperti bayang, ia terus mengikut ke mana pun saya melangkah,” begitulah kesunyian yang tergambar pada sosok Woo-sol.

Takdirnya berubah saat sesi sparring yang seharusnya latihan biasa berakhir tragis. Lawannya cedera parah, dan peristiwa itu membuka jalan pertemuannya dengan Hyun Woo-yong (LEE Hyun-Wook). Woo-yong bukan sembarang manusia, melainkan ketua kongsi gelap yang menguasai sebuah liga pertarungan bawah tanah. Liga ini lebih dari sekadar hiburan gelap; ia adalah “ring of hell,” di mana darah dan nyawa menjadi taruhan bagi mereka yang berkuasa.

Tertarik dengan ketahanan fizikal dan semangat Woo-sol, Woo-yong cuba menariknya masuk ke dalam lingkaran neraka itu. Namun, penolakan Woo-sol membangkitkan amarah. Dari seorang penonton, dia berubah menjadi buruan. Kini, demi bertahan dan melindungi orang yang dicintainya, Woo-sol tidak lagi punya pilihan selain berpegang pada satu hakikat: “Seekor jerung akan mati sebaik sahaja ia berhenti berenang.”

Dibarisi pelakon berbakat besar seperti BAE Myung-Jin, LEE Jung-Hyun, PARK Jin, dan JEONG Da-Eun, Shark: The Storm menyajikan aksi yang brutal, naratif emosional yang menggigit, dan pembangunan karakter yang memberi kedalaman. Ia bukan hanya pertarungan tubuh, tetapi pertarungan jiwa; sebuah survival di ambang gelap, tentang bagaimana seorang bekas mangsa buli menolak untuk ditakluk oleh masa lalu.

Enam episod penuh intensiti ini akan dilancarkan serentak pada 29 Ogos 2025, hanya di Tonton. Untuk segala maklumat terkini, ikuti @tontonmy di Facebook, Twitter, TikTok dan Instagram. Shark: The Storm bukan sekadar tontonan; ia adalah pengalaman tentang hidup, luka, dan kekuatan untuk terus berenang meski gelombang semakin menghimpit.

Comments
* The email will not be published on the website.