oleh: zizi hashim
24 Nov
24Nov

Suasana kreatif Kuala Lumpur sentiasa bergerak dalam ritma yang sukar diduga, namun kemunculan Lokarya melalui pengenalan semula “Deruan” terasa seperti tiupan angin baharu yang membawa aroma nostalgia kota. Setiap kali nama mereka disebut, teringat bagaimana muzik boleh berfungsi sebagai cermin yang memantulkan perasaan yang tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Begitulah getaran “Deruan”, sebuah karya yang lahir 3 tahun lalu, dipendam, digilap, dan akhirnya diberi pentas yang layak untuk bersinar.

Memilih untuk menangkap setiap serpihan itu melalui muzik yang bernafas lembut tetapi meninggalkan gema yang panjang, Lokarya sejak mula diasaskan pada 2019, hadir sebagai kumpulan yang mempercayai wacana. Nama mereka, diambil daripada “lokakarya”, memberi gambaran bagaimana setiap lagu bermula dengan perbualan. Kadang rapuh, kadang berkonflik, namun selalunya jujur. Shaheth pernah menyebut bahawa studio mereka berfungsi seperti ruang terapi; tempat fikiran dibuka, luka-luka lama dibincang, dan idea-idea kecil ditenun menjadi bunyi. Dan mungkin kerana itu, muzik mereka memancarkan kehangatan yang tidak dibuat-buat.

Gaya city pop moden menjadi nadi Lokarya, tetapi mereka tidak sekadar mengambil inspirasi nostalgia Jepun 80-an. Mereka mengadunnya dengan jiwa soul dan elemen alternatif yang membuat bunyi mereka terasa urban tanpa kehilangan kelembutan. Khairi, yang sering bertindak sebagai pendengar pertama melodi-melodi awal, menggambarkan muzik Lokarya sebagai ruang kota yang punya cahaya neon, lalu lintas perasaan, dan sudut-sudut sunyi tempat orang menyembunyikan sepi mereka.

Ketika “Deruan” pertama kali dirakam 3 tahun lalu, Lokarya masih bertatih memahami arah sebenar perjalanan mereka. Hanya hari ini, saat mereka lebih matang dan kukuh, lagu itu kembali sebagai naskhah yang akhirnya menemukan tempatnya. Rafael pernah berkata, “Deruan bukan lagu baharu, tapi ia akhirnya menemukan rumah.” Ada sesuatu yang menggetarkan dalam cara itu diungkap, seolah-olah lagu ini sendiri pun telah melalui proses pendewasaan.

Persembahan mereka di RIUH x ASEAN menjadi titik nyala yang mengubah banyak perkara. Sorakan penonton, pujian tanpa disangka, dan sambutan hangat membuka sebuah pintu yang selama ini mereka sangka tertutup. Taka berkongsi bahawa sokongan itu menjadi bukti bahawa ruang arus perdana tidak lagi mustahil dicapai, malah menjemput mereka untuk lebih berani menampilkan muzik yang autentik.

Lokarya kini berada di ambang kemunculan album penuh pertama mereka, sebuah projek 2019–2025 yang mencatatkan evolusi jiwa, pemikiran dan bunyi. Dalam perjalanan itu, kolaborasi bersama Noh Salleh menjadi anugerah yang melengkapkan mozek muzik mereka. Bagi kumpulan yang membesar dengan karya Noh, peluang ini hadir seperti pengesahan bahawa mereka sedang bergerak ke arah yang tidak sia-sia.

Proses kreatif mereka bukan usaha mengejar trend. Lokarya tidak mahu menjadi gelombang sementara yang hilang setelah musim berlalu. Mereka mahu menjadi memori dalam perjalanan seseorang, lagu yang dipasang lewat malam, ketika hati sedang belajar pulih; melodi yang menemani seseorang berjalan di bawah lampu jalan; lirik yang terasa seperti berbicara terus ke jiwa.

Shaheth merumuskan harapan mereka dengan cara yang sederhana namun menyentuh, “Jika satu hari nanti lagu kami hadir dalam kenangan hidup seseorang, itu sudah cukup.” Kini, dengan “Deruan” sebagai langkah pertama babak baharu mereka, Lokarya mengundang pendengar memasuki dunia sonik yang telah lama mereka bentuk, dunia yang romantis, nostalgik, melankolik, dan penuh ruang untuk bernafas. Dan seperti namanya, “Deruan” tidak datang sekadar sebagai lagu; ia datang sebagai perjalanan yang akhirnya pulang ke pangkalnya.

Comments
* The email will not be published on the website.