oleh: zizi hashim
04 Aug
04Aug

Sorotan lampu malam itu berpadu dengan degup jantung khalayak, ketika dua sosok yang sedang mekar dalam bualan ramai, Bella Astillah dan YB Syed Saddiq, melangkah masuk seiringan ke pentas sejarah mereka. Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT2025) menjadi saksi kepada momen yang mengikat nama mereka dalam helaian memori, meraih gelaran Selebriti Couple Goals Terhangat.

Kemenangan ini bukan sahaja yang pertama mereka rangkul bersama, malah menjadi penampilan rasmi pertama di layar kaca sebagai pasangan. Dari karpet merah yang menyambut langkah mereka dengan kilau kamera, hinggalah detik berdiri sebagai penyampai anugerah, aura “BASS” mengalir bagaikan alunan bass gitar yang meresap ke seluruh ruang acara.

Ada sisi mengundang senyum apabila YB hadir sambil menggenggam buku nota di acara hiburan, sebuah isyarat kecil tentang dirinya yang unik, lebih-lebih lagi ditemani kedua orang tua serta mama Bella yang duduk sebagai barisan penyokong terhormat.

Sorakan memuncak tatkala nama mereka diumumkan sebagai pemenang. Riuh tepukan mengalun, seolah-olah seluruh dewan sudah lama menunggu detik ini. Bella, dengan senyum bening yang memantulkan rasa syukur, mengucap terima kasih kepada Melodi, TV3, dan para pengundi yang memungkinkan kemenangan itu. “Ambil yang baik-baik sahaja,” pesannya, sambil mengerling ke arah Syed Saddiq. Sang YB membalas dengan tawa kecil, sebelum mengangkat Bella sebagai superwoman dan iron lady yang membuatnya bangga berdiri di sisinya.

Fenomena BASS tidak lahir daripada gimik kosong, tetapi daripada keserasian yang terpancar sejak kolaborasi ringkas mereka di media sosial, menjalar ke pentas gah seperti malam itu. Gurauan spontan, lirikan mata yang terselit makna, dan sentuhan kemesraan yang tidak dibuat-buat menjadi bahan bualan hangat netizen.

Sejurus kemenangan diumumkan, media sosial berhamburan dengan reaksi, penuh emoji dan tanda seru:

“Not me screaming BASS menang!” – @starlikeys
“Xthu knp video ni auto looping byk kli 😍” – @basyirah_aqilah
“❤️❤️❤️ Meletop yang ni. Approved seluruh rakyat Malaysia.” – @Eiya Ya

Dan begitulah, gema BASS malam itu bukan sahaja menggegarkan dewan, tetapi meresap jauh ke ruang maya dan hati mereka yang percaya bahawa ada momen yang dicipta untuk dikenang.

Comments
* The email will not be published on the website.