oleh: zizi hashim
04 Aug
04Aug

Kian berubah wajah, namun tidak pernah hilang. Malahan semakin berkembang mengikut zaman dan terus melahirkan generasi baharu yang membawa suara serta keberanian tersendiri. Demikianlah muzik indie, daripada gig kecil yang dipenuhi peluh dan idealisme, sehinggalah ke pentas yang lebih terbuka kepada khalayak umum, perjalanan muzik indie Malaysia kini diraikan menerusi sebuah acara yang menyatukan sejarah, legasi dan masa depan dalam satu denyut nadi yang sama.

Semangat itu bakal diterjemahkan menerusi Indie 4 Generasi, siri keempat Indie Vibes @ Panggung Anniversari anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS). Berlangsung pada Sabtu, 8 Ogos 2026, dari jam 3 petang hingga 7 malam di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, acara ini dibuka secara percuma kepada orang ramai sebagai ruang untuk meraikan kepelbagaian landskap muzik alternatif tempatan.

Mengangkat tema "Indie 4 Generasi", penganjuran kali ini menghimpunkan empat nama yang mewakili empat era berbeza dalam perjalanan muzik independen Malaysia. Subculture membawa legasi awal punk rock tempatan yang lahir daripada budaya gig bawah tanah, manakala Disagree hadir sebagai antara kumpulan alternative rock berbahasa Inggeris paling berpengaruh yang kembali aktif selepas berehat selama 14 tahun. Kepulangan mereka diserikan dengan pelancaran single "Let's Do It All Again" pada Mei lalu, diikuti "Home" pada penghujung Julai sebagai sebahagian daripada album baharu mereka.

Barisan persembahan turut diperkuatkan dengan Massacre Conspiracy, yang mewakili gelombang metalcore moden Malaysia dan pernah menjelajah pentas muzik di Asia serta Eropah. Sementara itu, The Alif membawa suntikan segar menerusi gabungan Britpop dan alternative rock, sekali gus menjadi suara generasi pendengar masa kini. Pertemuan empat kumpulan ini mencipta sebuah naratif yang merentasi lebih tiga dekad evolusi muzik indie tempatan.

Lebih menarik lagi, Indie 4 Generasi bukan dibina semata-mata sebagai sebuah konsert. Sebaliknya, ia menjadi penghormatan terhadap perjalanan panjang muzik alternatif Malaysia yang berkembang daripada rakaman kaset demo, gig komuniti dan ruang bawah tanah kepada karya-karya yang kini menembusi platform digital serta pentas antarabangsa. Ia membuktikan bahawa muzik independen sentiasa berevolusi tanpa pernah kehilangan identiti asalnya.

Program ini turut menjadi sebahagian daripada inisiatif Semarak Seni @ Panggung Anniversari 2026, sebuah siri yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi menghidupkan semula peranan Panggung Anniversari sebagai ruang seni terbuka yang aktif, inklusif dan dekat dengan masyarakat. Menerusi platform ini, pelbagai genre muzik, subbudaya dan ekspresi kreatif diberi ruang untuk berkembang, selain membuka peluang kepada pemuzik independen mempersembahkan karya asli kepada khalayak yang lebih luas dalam suasana santai dan interaktif.

Penganjuran ini juga merupakan sebahagian daripada Calendar of Events (COE) Panggung Anniversari 2026, yang merangkumi lebih 40 program seni dan budaya sepanjang tahun. Antara pengisian lain termasuk Jazz in the Park, Retro Night, persembahan warisan, Pocket Shows, Pop-up Performances dan pelbagai aktiviti seni komuniti. Keseluruhan inisiatif ini digerakkan bagi memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai bandar raya budaya yang progresif, selain menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY 2026) melalui program seni yang berkualiti dan berimpak tinggi.

DBKL turut mengajak seluruh pencinta muzik, sama ada yang membesar dengan era kaset, CD, penstriman digital mahupun generasi yang baru mengenali dunia indie, untuk hadir meraikan sebuah perjalanan muzik yang tidak pernah berhenti berkembang. Kerana dalam setiap generasi, sentiasa ada lagu yang menjadi suara zaman, dan dalam setiap pentas, sentiasa ada cerita yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan.

Comments
* The email will not be published on the website.