oleh: zizi hashim
15 May
15May

Langit savana Afrika bakal bergema di Kuala Lumpur Jun ini. Setelah bertahun-tahun hanya hidup dalam layar dan memori zaman kecil ramai manusia, The Lion King kini akhirnya dibawa ke Malaysia dalam pengalaman sinematik berskala besar yang dijangka menjadi antara persembahan keluarga paling magis tahun ini.

Buat julung kalinya, Disney’s The Lion King Live in Concert bakal dipersembahkan di Malaysia menerusi kerjasama bersejarah bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026. Persembahan istimewa itu akan berlangsung di Dewan Plenari KLCC pada 13 Jun 2026 menerusi dua sesi khas iaitu jam 2.30 petang dan 8 malam.

Dibawakan oleh Milestone Production, produksi “film-to-live” bertaraf antarabangsa ini bakal menghidupkan semula keseluruhan filem animasi ikonik Disney tahun 1994 di layar gergasi sambil diiringi persembahan langsung oleh orkestra penuh seramai 72 pemuzik. Dan di situlah magis sebenar bermula. Bukan sekadar menonton filem, tetapi merasai sendiri setiap dentuman dram, gesekan violin dan ledakan emosi skor muzik yang pernah membentuk zaman kanak-kanak jutaan manusia di seluruh dunia.

Daripada detik pembukaan "Circle of Life" yang penuh megah, keceriaan "Hakuna Matata" hinggalah momen romantis "Can You Feel the Love Tonight", semuanya bakal dipersembahkan secara langsung dengan skala bunyi dan emosi yang jauh lebih besar daripada pengalaman biasa di pawagam. Persembahan ini turut menampilkan karya komposer legenda Hans Zimmer bersama penulis lagu terkenal Elton John dan Tim Rice, selain sentuhan muzik Afrika ikonik daripada Lebo M yang menjadi roh utama dunia The Lion King. 

Mengemudi persembahan tersebut ialah Konduktor Residen NSO, Eric Lee yang diiktiraf sendiri oleh Disney Concerts atas ketepatan teknikal dan standard muzik bertaraf antarabangsa. Menurut Eric Lee, pengalaman mendengar muzik secara langsung bersama orkestra memberi impak emosi yang sangat berbeza berbanding rakaman biasa. “Penonton dapat benar-benar merasai tenaga dan emosi orkestra secara langsung di pentas serta menikmati sepenuhnya impak, resonans dan keindahan bunyinya,” katanya.

Dalam masa sama, Pengarah Bahagian Produksi Istana Budaya, Hanida menegaskan penglibatan Istana Budaya dalam projek ini turut menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuhkan seni persembahan Malaysia ke peringkat lebih tinggi. 

Bagi Grace Lee selaku Pengarah Urusan Milestone Production pula, konsert ini dilihat sangat bertepatan dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai destinasi hiburan keluarga bertaraf antarabangsa sempena Visit Malaysia 2026. Malah persembahan tersebut turut dipromosikan ke beberapa negara jiran termasuk Singapura, Thailand, Vietnam dan Indonesia bagi menarik peminat Disney dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Tiket rasmi Disney’s The Lion King Live in Concert kini mula dijual dengan harga bermula RM168 hingga RM638. Dan mungkin untuk satu malam nanti, Dewan Plenari KLCC tidak lagi sekadar ruang persembahan biasa… tetapi berubah menjadi Pride Lands yang hidup bersama muzik, nostalgia dan memori zaman kecil yang tidak pernah benar-benar hilang daripada hati manusia.

Kredit Imej:  ©Disney. Hakcipta Terpelihara

Comments
* The email will not be published on the website.