Lensa kamera barangkali tidak mampu menghentikan kepupusan, tetapi ia boleh memastikan sesuatu yang berharga dilihat, dikenali dan akhirnya dipedulikan. Di hamparan hijau Rizab Biosfera Bukit Bendera, setiap kepakan sayap, warna bulu yang tersembunyi di balik rimbunan dan spesies yang jarang disedari manusia membawa makna kepada sebuah ekosistem yang jauh lebih besar. Mendokumentasikannya bukan sekadar menghasilkan foto yang indah, tetapi membina rekod tentang kehidupan yang sedang dikongsi bersama generasi hari ini.
Atas kesedaran itu, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dan Canon Marketing Malaysia memeterai kerjasama strategik selama lima tahun bagi memperkukuhkan usaha pemuliharaan, dokumentasi biodiversiti serta kesedaran alam sekitar di Bukit Bendera. Menerusi kerjasama tersebut, Canon dilantik sebagai Rakan Pengimejan Rasmi PBBPP, membawa teknologi pengimejan serta kepakaran dalam kamera profesional dan penyelesaian percetakan berkualiti tinggi ke dalam sebuah misi yang melangkaui dunia fotografi.

Hubungan antara kedua-dua pihak sebenarnya bukan sesuatu yang baharu. Canon telah menjadi penyokong dan penaja Penang Hill Festival sejak acara itu dilancarkan pada 2018. Namun kerjasama lima tahun ini memperluaskan hubungan tersebut kepada suatu mandat yang lebih signifikan dengan menggunakan kekuatan visual sebagai wahana untuk mendokumentasikan, memperkenalkan dan meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap khazanah ekologi Bukit Bendera. Skalanya bukan kecil. Rizab Biosfera Bukit Bendera (PHBR) telah diiktiraf sebagai Rizab Biosfera UNESCO di bawah Program Manusia dan Biosfera (MAB) sejak 2021.
Merangkumi Bukit Bendera dan kawasan sekitarnya seluas 12,481 hektar, kawasan ini menjadi habitat kepada lebih 2,000 spesies flora dan lebih 500 spesies fauna. Lebih istimewa, ia merupakan satu-satunya ekosistem hutan hujan pesisir dan daratan yang bersempadan dengan kawasan bandar di Malaysia. Keunikan itu menjadikan Bukit Bendera bukan sekadar destinasi pelancongan yang terkenal dengan panorama dan udaranya yang nyaman, tetapi sebuah khazanah biodiversiti yang memerlukan perhatian, penyelidikan dan pemeliharaan berterusan.
Kerjasama PBBPP dan Canon akan memberi tumpuan kepada beberapa inisiatif utama termasuk dokumentasi biodiversiti burung, bengkel fotografi dan videografi, pameran pemuliharaan, serta pembangunan lokasi pemerhatian burung di sekitar Bukit Bendera. Di sinilah teknologi pengimejan mengambil peranan yang lebih substantif. Kamera bukan lagi sekadar alat untuk menghasilkan gambar yang mempesona, tetapi instrumen dokumentasi yang mampu membantu penyelidikan, pendidikan dan usaha membina kesedaran awam. Sebagai sebahagian daripada kerjasama itu, Canon akan menyediakan kamera profesional dan lensa bagi menyokong Projek Dokumentasi Burung PBBPP. Projek tersebut bertujuan mewujudkan sebuah arkib visual jangka panjang bagi spesies burung yang ditemukan di dalam biosfera berkenaan.

Arkib itu kelak akan menjadi rujukan bernilai untuk tujuan penyelidikan, pendidikan dan kesedaran pemuliharaan. Ia turut dibangunkan melalui kerjasama rapat dengan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), yang akan menyumbangkan kepakaran dalam bidang pemerhatian dan pemuliharaan burung. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Canon Marketing Malaysia, Masato Yoshiie, berkata kerjasama tersebut berpaksikan falsafah kyosei, iaitu hidup dan bekerja bersama demi kebaikan bersama.
“Kami percaya bahawa pengimejan mampu menjadi alat yang berkesan dalam memperkukuh usaha pemuliharaan dan kesedaran. Melalui kerjasama ini, kami memanfaatkan kekuatan Canon dalam bidang pengimejan untuk menyokong proses dokumentasi warisan semula jadi Malaysia sambil menggalakkan penghargaan yang lebih mendalam terhadap biodiversiti,” katanya. Falsafah tersebut menemukan relevansinya apabila fotografi tidak berhenti sebagai dokumentasi pasif. Sebuah imej yang baik mampu menyingkap apa yang sering terlepas daripada pandangan, membawa spesies yang tersembunyi jauh di dalam habitatnya kepada khalayak yang mungkin tidak pernah berpeluang melihatnya secara langsung.
Daripada rasa ingin tahu, lahir pengetahuan. Daripada pengetahuan, tumbuh kepedulian.Bagi Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, Dato’ Cheok Lay Leng, Bukit Bendera perlu dilihat melampaui reputasinya sebagai destinasi ekopelancongan popular. “Bukit Bendera bukan sahaja merupakan destinasi ekopelancongan yang popular, malah aset biodiversiti dan ekologi yang amat penting dan perlu dipelihara dengan bertanggungjawab. Sebagai sebuah Rizab Biosfera, ia berfungsi sebagai makmal hidup dan tapak ujian bagi aktiviti pemuliharaan, penyelidikan dan pendidikan yang disokong oleh penyertaan komuniti.”

Menurutnya, kerjasama itu akan memperkukuhkan komitmen terhadap pemuliharaan biodiversiti dan kesedaran alam sekitar menerusi peningkatan usaha dokumentasi serta penglibatan masyarakat. Pada masa sama, ia mengukuhkan visi Rizab Biosfera Bukit Bendera sebagai model pelancongan mampan dan pemeliharaan alam sekitar yang mampu memberikan manfaat berpanjangan kepada alam semula jadi serta generasi akan datang. Usaha tersebut tidak akan terkurung dalam lingkungan penyelidik dan jurugambar profesional semata-mata. PBBPP dan Canon turut merancang untuk menganjurkan bengkel fotografi dan videografi tahunan di Bukit Bendera, termasuk program sempena Festival Bukit Bendera.
Pendekatan ini membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami pemuliharaan melalui bahasa visual: bahasa yang lebih mudah merentas usia, latar belakang dan sempadan pengetahuan. Fotografi, dalam konteks ini, menjadi sebuah pintu masuk. Seseorang mungkin datang kerana minat terhadap kamera, tetapi pulang dengan pengetahuan baharu tentang spesies, habitat dan fragiliti sebuah ekosistem. Penceritaan visual akhirnya menjadi jambatan antara teknologi dan alam, antara apa yang dirakam dengan apa yang perlu dipertahankan. Satu lagi komponen menarik ialah pengenalan lima lokasi khas pemerhatian burung di sekitar Bukit Bendera. Kemudahan ini bakal meningkatkan akses kepada pengunjung, jurugambar dan komuniti pemerhati burung untuk menikmati biodiversiti kawasan tersebut secara lebih dekat dan bertanggungjawab.

Karya fotografi terpilih yang menampilkan spesies burung tempatan dan burung migrasi yang ditemukan di Bukit Bendera turut dipamerkan kepada orang ramai di Stesen Bukit Bendera. Berdasarkan bahan visual dalam siaran media, pameran berkenaan menghimpunkan imej-imej burung dalam ruang yang dikelilingi kehijauan Bukit Bendera, menjadikan pengalaman melihat fotografi itu seakan bersambung terus dengan habitat yang menjadi subjeknya. Semua foto dipaparkan menggunakan pencetak profesional Canon imagePROGRAF PRO-510 bagi menghasilkan cetakan berkualiti tinggi.
Kerjasama selama lima tahun ini akhirnya mempertemukan dua bidang yang mungkin kelihatan berbeza pada permukaan teknologi dan pemuliharaan. Namun kedua-duanya berkongsi satu keperluan yang sama iaitu ketelitian. Pemuliharaan memerlukan manusia mengetahui apa yang dimiliki sebelum ia hilang. Pengimejan pula mempunyai keupayaan untuk merekodkan perincian yang mungkin tidak dapat disimpan oleh ingatan manusia. Apabila kedua-duanya bertemu, sebuah foto tidak lagi hanya cantik untuk dipandang; ia menjadi bukti, rujukan dan sebahagian daripada arkib sebuah zaman.
Buat Bukit Bendera, setiap imej yang dirakam hari ini berpotensi menjadi jendela kepada masa depan. Generasi yang belum lahir mungkin suatu hari nanti mengenali kekayaan biodiversiti kawasan ini melalui visual yang mula dihimpunkan sekarang. Dan jika usaha pemuliharaan berjaya, mereka tidak perlu sekadar melihatnya di dalam arkib, mereka masih boleh menemukannya hidup, terbang dan berkembang di habitat asalnya. Itulah barangkali nilai paling besar daripada kerjasama ini. Bukan sekadar merakam alam kerana ia indah, tetapi memastikan keindahan itu cukup dikenali untuk terus dipelihara.