Lorong-lorong kota sering dipenuhi prasangka. Dari jauh, mereka dilihat liar, keras, dan tidak punya masa depan. Namun di celah wajah-wajah yang dipinggirkan itu, tersembunyi cerita tentang luka, kelangsungan hidup dan harapan yang perlahan-lahan hampir padam. Drama bersiri Cahaya Anak Lorong hadir membawa denyut itu. Bukan sekadar kisah remaja bermasalah, tetapi potret manusia yang selama ini lebih banyak dihukum daripada difahami.
Bak sebuah naskhah yang bernafas dengan realiti kota, drama arahan Pali Yahya ini mempertaruhkan Izzue Islam sebagai Cikgu Amir, seorang guru yang awalnya hadir tanpa rasa percaya terhadap pelajar-pelajar di Sekolah Bimbingan Kasih (SBK). Dipindahkan ke sekolah tersebut bukanlah sesuatu yang dimahukan Amir. Yang ada dalam fikirannya hanyalah jalan keluar paling cepat. Namun manusia sering ditemukan dengan takdir yang tidak pernah dipilih sendiri.

Di SBK, Amir bertemu Sofea, Bad dan Mok, anak-anak lorong yang membesar dalam dunia keras, menjadikan mencopet dan menipu sebagai cara meneruskan hidup. Mereka bukan sekadar remaja nakal seperti label masyarakat, tetapi jiwa-jiwa muda yang sudah terlalu lama hidup tanpa perhatian dan kasih sayang yang sempurna. Dalam masa yang sama, kewujudan Hakimi sebagai perekrut keldai dadah membuka sisi lebih kelam tentang bagaimana golongan muda mudah dimanipulasi apabila hidup mereka kehilangan arah.
Menariknya, Cahaya Anak Lorong tidak memilih jalan mudah untuk menjadi drama moral tipikal. Penceritaannya bergerak dengan emosi yang perlahan tetapi mengikat, membuat penonton menyelami keresahan setiap karakter satu demi satu. Ada rasa marah, kecewa dan simpati yang datang serentak. Sesekali dialognya terasa pedih kerana terlalu dekat dengan realiti kehidupan hari ini. Watak Sofea yang dibawakan Ranea Ezreen tampil dengan jiwa memberontak yang kasar di luar, tetapi rapuh di dalam. Sementara Fariz Isqandar dan Azrell Iskandar menghidupkan sisi jalanan yang terasa organik tanpa dibuat-buat.

Dalam kekacauan dunia mereka, Cikgu Amir akhirnya mula menyedari bahawa untuk mengubah seseorang, dia perlu terlebih dahulu memahami frekuensi hidup mereka. Seperti yang dikongsikan Izzue Islam sendiri, watak Amir bukanlah seorang hero sempurna. Dia hadir bersama ego dan persepsinya sendiri sebelum perlahan-lahan belajar melihat kehidupan daripada sudut yang lebih manusiawi. Dan di situlah kekuatan terbesar drama ini. Keberaniannya mengingatkan bahawa tidak semua manusia diberi peluang hidup yang adil.
Dengan latar dunia kota yang keras, elemen jenayah, persahabatan dan perjuangan pendidikan, drama ini terasa seperti cermin kepada masyarakat yang sering memilih untuk menutup mata terhadap golongan terpinggir. Ada banyak momen yang menyentuh tanpa perlu memaksa air mata. Semuanya mengalir secara sederhana tetapi meninggalkan bekas yang lama. Cahaya Anak Lorong bakal bersiaran mulai 7 Mei 2026, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di TV3 serta boleh distrim lebih awal di Tonton. Sebuah kisah tentang manusia-manusia yang pernah dianggap hilang, tetapi sebenarnya masih mencari cahaya untuk pulang.
