oleh: zizi hashim
12 Jun
12Jun

Di satu petang 11 Jun 2025 yang penuh bermakna bertempat di ESI Hub, Spacerubix memperlihatkan Anugerah Lagu Indie 2024 (ALI24) mengangkat tabir dan mengumumkan senarai Top 15 karya yang akan bertarung di pentas akhir edisi kelima. Dalam suasana yang penuh gemuruh jiwa dan gema kreativiti, tiga genre utama – Pop, Rock dan Hip Hop – akhirnya menemui perwakilan terunggul mereka.

ALI24, yang kini melangkah dengan wibawa ke tahun kelima penganjurannya, bukan sekadar sebuah pertandingan. Ia adalah gerakan, sebuah altar suci yang memberi ruang kepada suara-suara dari lorong-lorong muzik indie tanah air untuk mengaum dengan lantang, dengan juri-juri lintas dimensi muzik seperti AG Coco, Irena Taib, Leaism, Luca Sickta, Roshan Jamrock, Prof. Madya Dr. Muhammad Sayyid, Wing Meng dan Loy Ekzan memikul tanggungjawab sebagai penjaga mutu dan nilai seni.

Mengangkat falsafah penganjuran tahun-tahun terdahulu, ALI24 sekali lagi menawarkan ganjaran bernilai RM36,000 untuk juara 3 kategori utama: Pop, Rock dan Hip Hop, disulami 2 anugerah istimewa – Persembahan Terbaik dan Lagu Indie Terpaling Platinum Carta Indie Kita – yang memberi makna lebih mendalam kepada keaslian dan pencapaian luar mainstream. Lebih dari sekadar trofi, ia adalah pernyataan: bahawa muzik indie bukan pinggiran, tapi nadi alternatif yang mengalir dalam tubuh seni Malaysia.

Daripada 630 karya yang diterima dari segenap penjuru negara, hanya 15 buah lagu yang berjaya menyaring diri ke tahap tertinggi. Mereka ini, seniman-seniman terpilih, bakal melontarkan visi dan emosi mereka secara langsung di hadapan juri dan pemerhati industri dalam Pentas Akhir ALI24 – sebuah malam yang menjanjikan detik-detik magis, pada 27 Julai 2025 nanti.

Ahmed Faris Amir, Penerbit Eksekutif ALI, menzahirkan penghargaan dan rasa percaya terhadap kematangan penganjuran kali ini. “ALI sejak 2020 bukan hanya mengiktiraf tetapi juga mendewasakan dunia muzik indie. Tahun ini, 630 penyertaan diterima, satu angka yang membuktikan bahawa nadi indie berdetak dengan gagah. Daripada itu, hanya 15 karya terbit sebagai finalis. Mereka bukan sekadar bertanding, mereka akan menulis babak penting dalam sejarah kecil muzik Malaysia,” ujar beliau penuh yakin.

Nada sama disambut oleh Jennifer Thompson, Penerbit Eksekutif Bersama, yang memperincikan metodologi penjurian. “Kami menilai secara holistik: dari lirik yang jujur, kepada muzik yang berani dan struktur lagu yang menyentuh. Juri profesional menyumbang 70% kepada keputusan, manakala undian awam mengisi 30% lagi, satu keseimbangan antara kualiti dan sentimen komuniti,” jelas beliau.

ALI24 tidak berdiri sendiri. Ia mendapat sokongan penuh Kementerian Belia dan Sukan, Gaya Hidup Rakan Muzik, Rakan Muda, serta gelombang sinergi daripada Rakita 107.9 dan pelbagai media alternatif seperti Malaysia Tribune, Medialah, Music Addicts Malaysia, Kaypoh Media, Malaysia Music Scene, Writer’s Daily dan LUAS – menjadikan festival ini satu ekosistem, bukan sekadar acara. Dan untuk anda yang merindui sihir pentas dan detik ledakan suara jiwa, saksikan Pentas Akhir ALI24 secara langsung di YouTube rasmi Anugerah Lagu Indie pada malam keramat 27 Julai 2025, jam 8 malam hingga 12 tengah malam. Bukan sekadar hiburan, ia adalah perjalanan spiritual muzik indie Malaysia.

15 Finalis Yang Bakal Menggegarkan ALI24

HIP HOP TERBAIK

  • Different Worlds
    Komposer: Bubba D & Maviin
    Lirik: Bubba D
    Artis: Bubba D
  • Shh Shh
    Komposer: Meorey
    Lirik: B-Heart
    Artis: B-Heart
  • Good Day
    Komposer & Lirik: Fusion Cypher House
    Artis: Fusion Cypher House
  • Malay Hood
    Komposer: Bearboi
    Lirik: Bearboi, EMG & Eden
    Artis: Bearboi
  • OK-GO
    Komposer: Pikabu & Gummy
    Lirik: Pikabu, Trigga, Afiq, Riel-G & Gummy
    Artis: Pikabu

POP TERBAIK

  • I Got A Woman
    Komposer: Reubben Chelvan & Ben Variyan
    Lirik: Reubben Chelvan
    Artis: Reubben Chelvan
  • Dewasa Yang Ku Impikan
    Komposer & Lirik: Umar Akmal
    Artis: Umar Akmal
  • Jangan Merajok
    Komposer & Lirik: Max Brandon
    Artis: Max Brandon
  • Ke Akhirnya
    Komposer & Lirik: Fimie Don
    Artis: Fimie Don
  • TV Show
    Komposer & Lirik: Odelia Tirza
    Artis: Odelia Tirza

ROCK TERBAIK

  • Bola Si Ernie
    Komposer: Teh Tarik Senja
    Lirik: Cahaya bin Mohamad Shafri
    Artis: Teh Tarik Senja
  • Senandung (ft. Otam)
    Komposer: Megat Hafidz, Megat Fazly & Megat Aizzat
    Lirik: Megat Hafidz, Megat Fazly, Megat Aizzat & Otam bin Abdul Rashid
    Artis: Mafidz
  • Bima Sakti (ft. Dhenaldi Savirio)
    Komposer: Mustika Sari
    Lirik: Crazy Grizzly
    Artis: Crazy Grizzly
  • Anathema
    Komposer: Inversion
    Lirik: Inversion & Aizad Junid
    Artis: Inversion
  • I, Suffocate (ft. Amanda Love & Ewan Roslan)
    Komposer: An Honest Mistake
    Lirik: Darren Teh & Amanda Love
    Artis: An Honest Mistake

ALI2024 adalah anugerah atau ritual tahunan yang menjadi saksi kepada evolusi, dari bilik kecil ke pentas nasional. Dan kini, 15 naskhah itu menanti giliran untuk menggelegak di altar agung mereka.

Comments
* The email will not be published on the website.