Kisah Vampire Unik, Muzik Blues Asyik Buat 'Sinners' Jadi Salah Satu Filem Seram Terbaik 2025

oleh: zizi hashim

Aura gelap Amerika Selatan era 1930-an menyelubungi layar sejak minit pertama Sinners (2025) bermula. Ryan Coogler, pengarah yang dikenali melalui Creed dan Black Panther, kembali dengan karya yang terasa jauh lebih peribadi dan berani. Kali ini bukan kisah adiwira atau sukan tinju yang menjadi nadi cerita, tetapi sebuah dunia yang dihuni dosa manusia, sejarah luka, dan makhluk malam yang menghisap darah.

Filem ini segera mencuri perhatian dunia apabila mencatat skor sempurna 100% di Rotten Tomatoes pada minggu awal tayangannya, satu pencapaian yang jarang berlaku bagi filem seram moden. Namun angka itu hanya sebahagian kecil daripada pengalaman sebenar yang dibawakan oleh Sinners. Kalau menurut saya, Sinners bukan sekadar filem vampire biasa. Sinners jadi sebuah kompilasi cerita tentang berbagai macam 'dosa & trauma', mulai dari racism, kekerasan, penindasan, sehingga diskriminasi.

Cerita berpusat pada dua saudara kembar, Smoke dan Stack, yang kedua-duanya dimainkan dengan penuh karisma oleh Michael B. Jordan. Selepas bertahun-tahun merantau di Chicago sebagai penipu, gangster dan pembunuh, mereka kembali ke kampung halaman di Clarksdale, Mississippi dengan impian baru. Hasrat mereka sederhana tetapi penuh makna: membuka sebuah kelab malam yang menjadi ruang hiburan untuk komuniti kulit hitam setempat.

Kelab tersebut dirancang sebagai tempat di mana muzik blues boleh mengalir bebas, di mana tawa, minuman dan irama gitar mampu membuat orang melupakan beban hidup buat seketika. Malam pembukaan kelab itu disiapkan dengan penuh semangat, dihiasi persembahan pemuzik tempatan termasuk Sammie “Preacher Boy” Moore yang dimainkan oleh Miles Caton, seorang gitaris muda dengan bakat luar biasa. Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama.

Kumpulan makhluk misteri yang haus darah tiba untuk merosakkan malam tersebut. Kehadiran mereka mengubah suasana pesta menjadi medan pembunuhan yang brutal. Dari sinilah Sinners bertukar daripada drama sejarah yang perlahan-lahan kepada seram vampire yang ganas dan penuh aksi.

Salah satu kekuatan terbesar filem ini terletak pada lakonan berganda Michael B. Jordan. Smoke dan Stack terasa seperti dua individu yang benar-benar berbeza. Smoke tampil lebih dingin dan penuh luka masa lalu, sementara Stack lebih santai tetapi menyimpan sisi gelap yang tidak kalah berbahaya. Perbezaan kecil dalam bahasa tubuh, gaya berjalan dan nada suara membuatkan penonton hampir lupa bahawa kedua-duanya dimainkan oleh orang yang sama.

Watak lain juga memberikan warna kuat kepada cerita. Delroy Lindo sebagai Delta Slim mencuri perhatian dengan karisma seorang pemuzik tua yang sinis tetapi bijak. Hailee Steinfeld pula membawa lapisan emosi yang lembut dalam cerita yang penuh kekerasan ini.

Elemen paling unik dalam Sinners ialah gabungan genre yang jarang ditemui. Ryan Coogler mencampurkan drama sejarah, seram vampire, aksi brutal, folklore Amerika Selatan, dan sedikit sentuhan blaxploitation. Hasilnya terasa seperti campuran From Dusk Till DawnInglourious Basterds, dan cerita rakyat Amerika Selatan. Ritma filem ini sengaja dibina perlahan pada bahagian awal. Penonton diberi masa untuk mengenali karakter, suasana bandar kecil Mississippi, serta luka sosial yang masih membekas selepas era perbudakan. Kemudian, pertengahan filem meledak dengan aksi brutal yang memuaskan.

Visual filem ini juga sangat memukau. Sinematografi oleh Autumn Durald Arkapaw menangkap keindahan ladang kapas yang diterangi matahari sebelum menukarnya menjadi lanskap mimpi ngeri ketika malam menjelma. Api jingga, langit biru luas, dan percikan darah merah mencipta komposisi visual yang terasa seperti lukisan hidup. Sutradara Ryan Coogler juga membuat keputusan berani dengan merakam filem ini menggunakan format IMAX 70mm dan Ultra Panavision 70mm, memberi skala epik kepada kisah yang sebenarnya bermula dari sebuah bandar kecil.

Namun jika ada satu elemen yang benar-benar menghidupkan Sinners, ia adalah muziknya. Komposer pemenang Oscar Ludwig Göransson mencipta skor yang menggabungkan blues tradisional, country dan elemen sinematik moden. Muzik dalam filem ini terasa seperti jiwa yang mengalir dalam setiap adegan. Göransson bahkan mengkaji rakaman blues dari era 1930-an dan 1940-an untuk menangkap emosi sebenar muzik tersebut. Hasilnya ialah skor yang terasa autentik, menghantui dan sangat intim.

Sinners juga tidak takut menyentuh sejarah kelam Amerika. Bayang-bayang Ku Klux Klan, sistem perkauman dan trauma komuniti kulit hitam menjadi latar penting cerita. Vampire dalam filem ini boleh dilihat sebagai metafora kepada kuasa kolonial dan penindasan yang menghisap kehidupan masyarakat. Tema utama filem ini berkisar pada penebusan dosa, identiti dan perlawanan terhadap penindasan. Muzik blues menjadi simbol kebebasan dan ketahanan, satu bahasa yang menghubungkan generasi dan menyimpan memori sejarah.

Meski ada beberapa bahagian cerita terasa sedikit panjang dan penghujungnya agak tergesa-gesa, keberanian Coogler menggabungkan pelbagai idea menjadikan filem ini sangat segar. Dua adegan post-credit yang mengejutkan juga memberi ruang kepada penonton untuk terus berfikir selepas filem tamat.

Pengalaman menonton Sinners terasa seperti duduk di sebuah bar blues tua di Mississippi: gelap, panas, penuh emosi dan sesekali meletus dengan keganasan. Filem ini bukan sekadar seram vampire, ia adalah refleksi tentang sejarah, dosa manusia dan harapan yang masih bertahan dalam irama gitar yang mengalun perlahan. Kalau anda tanya saya, Sinners ialah salah satu filem paling unik dan berani dalam genre seram di dekad ini.