Bila Esok Ibu Tiada: Titip Pesan Hargai Setiap Detik Bersama Yang Tersayang

oleh: zizi hashim

Kesunyian, lebih-lebih lagi 'parental loneliness' bukanlah suatu hal yang boleh diremehkan. Pada setiap detik waktu yang berlalu, ada kisah tersembunyi di sebalik kerutan wajah ibu, sebuah memoir yang jarang kita baca, sebuah luka yang jarang kita sentuh. Seberapa dalam kita mengenali ibu kita? Tahukah kita bahawa luka terdalam seorang ibu adalah melihat anak-anaknya bertelingkah? Kita, anak-anak yang tenggelam dalam dunia sendiri, terlupa meluangkan masa untuk mereka yang melahirkan, yang menjadi akar kejayaan kita. Bila cuba membaiki hubungan, kerap kali ia sudah terlambat. Sehelai kenangan yang tercicir, sebutir air mata yang tak sempat dicurahkan.

'Bila Esok Ibu Tiada' (BEIT) adalah filem yang menikam jiwa, sebuah karya yang mampu mengalirkan air mata, sejujurnya satu tamparan hebat buat saya sendiri. Christine Hakim, bagaikan pemahat perasaan, mengukir watak ibu dengan kelembutan yang menyentuh relung hati. Filem ini bukan sekadar tontonan, ia adalah cermin yang memantulkan kekocakan kita yang sering lupa menghargai kasih ibu, sehingga detik terakhir pun tiba. Ya saya terasa seperti ditampar perit, begitu sinis menempelak saya yang terkadang rasa rimas pada sifat clingy ibu sendiri, yang pada akhirnya bila ibu sudah tiada tercari-cari setiap hari. Kenapa baru sekarang kan? Nah, rasakan, padan muka engkau!

Diadaptasi dari novel best seller dengan judul yang sama karya Nuy Nagiga oleh sutradara Rudy Soedjarwo, Oka Aurora, dan Adinia Wirasti, saya yang belum membaca novelnya sudah dapat menangkap gagasan cerita asli dan naskah dari filem yang ternyata cukup umum. Tentang ungkapan bahawa seorang ibu mampu menjaga ramai anak, tetapi sebaliknya belum tentu. Filem produksi Leo Pictures ini memang sangat layak mendapatkan jutaan penonton di Indonesia kerana premis kasih sayang seorang ibu yang tak terhingga dapat menarik penonton dari berbagai kalangan dan lintas generasi. Usai menonton pun, masih ada impak yang begitu menyayat hati kerana mempertontonkan bagaimana pedihnya kehilangan ibu tersayang, lebih lagi buat yang pernah melaluinya, seperti saya sendiri sangat relate dengan BEIT.

Bercerita tentang keluarga Rahmi (Christine Hakim), sebuah harmoni tersimpan di sebalik kepergian Haryo (Slamet Rahardjo), seorang ayah yang meninggalkan kenangan dan kekosongan yang mendalam. Ranika (Adinia Wirasti), anak sulung pewaris harapan keluarga membina empayar perniagaan sendiri dengan ketekunan. Rangga (Fedi Nuril), sang musisi, menggenggam mimpi kontrak rakaman pertamanya. Rania (Amanda Manopo) mengejar lampu spotlight dunia hiburan glamour, sementara Hening (Yasmin Napper) tenggelam dalam dunia seni dan kawan-kawan kuliahnya.

Mereka berkembang, mengembara dalam laluan masing-masing, tanpa sedar bahawa setiap langkah memisahkan mereka dari Rahmi, ibu yang perlahan-lahan ditinggalkan dalam kesunyian. Setiap anak mempunyai ceritanya sendiri, namun dalam perjalanan itu, mereka terlupa bahawa kisah teragung adalah kisah bersama seorang ibu yang menunggu, yang merindukan, yang mengasihi tanpa syarat. Keharmonian keluarga kini tersimpan dalam kenangan, tersembunyi di sebalik kesibukan masing-masing, menunggu saat untuk disentuh semula.

Meja makan menjadi saksi bisu perjalanan cinta yang terlupakan. Rahmi duduk sendirian di hadapan hidangan melimpah, sebuah metafora nestapa kesunyian yang menusuk kalbu. Anak-anak yang panik, berlumba pulang setelah baru teringat hari ulang tahun ibu, membentuk satu adegan yang membelah jiwa. Mereka datang, namun kedatangan mereka tidak membawa kehangatan yang disangka. Christine Hakim mengukir setiap ekspresi dengan kedalaman yang mampu mencairkan hati setiap penonton. Matanya bercerita tentang kerinduan yang tersimpan, tentang harapan yang belum terungkap. Dialog-dialognya adalah puisi tanpa kata: sabar, lembut, namun menyimpan pedih kehilangan.

Satu malam dalam setahun, dia hanya merindukan momen kebersamaan yang utuh, sebuah kehangatan yang tidak ternilai. Meja makan itu kini menjadi pengimbas memori di mana setiap hidangan adalah pengakuan rindu, setiap senyuman adalah usaha menyatukan kembali apa yang pernah retak. BEIT merupakan sebuah lukisan kompleks tentang keluarga, di mana setiap karektor membawa kanvas emosi tersendiri. Alur episodik yang dipilih membentangkan kisah personal kelima tokoh dengan depth yang berbeza. Rahmi hadir dengan puisi kerinduan kepada almarhum suami, mencetus kenangan yang tak pernah pudar. 

Example Text