oleh: zizi hashim
29 Dec
29Dec

Sejarah muzik sentiasa bergerak, namun sesetengah emosi tampaknya seperti enggan ditinggalkan. Itulah landasan rasa yang melahirkan album “Jiwang Karat Vol. 1”, sebuah kompilasi yang mengumpulkan suara-suara berbeza, latar yang berlapis dan pengalaman yang tidak seragam, namun bertemu pada satu simpulan, iaitu kejujuran perasaan. Album terbitan FGI Entertainment ini tampil sebagai naskhah yang memeluk nostalgia, tanpa terperangkap dalam masa silam.

Majlis Perasmian Pelancaran album ini berlangsung pada 27 Disember 2025 di Anugerah Camp, Taman Rimba Templer, Rawang, sebuah lokasi yang bersatu dengan alam, santai, tenang dan bersahaja. Pelancaran tersebut disempurnakan oleh YB Anfaal Saari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer merangkap EXCO Kerajaan Negeri Selangor, sekali gus memberikan makna simbolik terhadap sokongan berterusan kerajaan negeri kepada ekosistem seni dan budaya tempatan.

Dalam ucapan perasmian, YB Anfaal Saari merakamkan penghargaan kepada penganjur serta keseluruhan barisan artis yang terlibat. Menurut beliau, “Jiwang Karat Vol. 1” bukan sekadar sebuah produk hiburan, sebaliknya berfungsi sebagai medium untuk merakam memori, emosi dan perjalanan seni yang menyatukan generasi lama serta baharu melalui bahasa muzik. “Karya-karya seperti ini membuktikan bahawa muzik mempunyai kekuatan untuk menyentuh hati, merentas usia dan latar belakang. Jiwang Karat membawa kita kembali menghayati nilai rasa, kejujuran emosi dan keindahan lirik yang semakin jarang ditemui,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan komitmen Kerajaan Negeri Selangor dalam menyokong industri kreatif tempatan, termasuk membuka ruang kepada penggiat seni untuk terus berkarya di platform yang lebih luas. Sokongan ini, menurut beliau, bukan sahaja menyuburkan budaya, malah berpotensi menjana ekonomi setempat serta memperkukuh identiti masyarakat melalui seni.

Diterbitkan oleh Fauzi Aisunam bersama Ajak Melissa, album ini dirakam sepenuhnya di FGI Studio, dengan susunan muzik, rakaman dan sentuhan teknikal yang diberi perhatian rapi. Dari segi konsep, “Jiwang Karat” lahir sebagai penghormatan kepada era lagu-lagu cinta dan balada yang pernah menguasai corong radio, namun diolah semula agar relevan dengan selera pendengar masa kini serta sesuai untuk platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube.

Menurut Fauzi Aisunam, album ini dihasilkan sebagai tanda penghargaan kepada peminat muzik jiwang yang setia, di samping membuka peluang kepada bakat baharu untuk memperkenalkan karya mereka kepada generasi semasa. “Kami mahu genre lagu-lagu jiwang ini terus hidup, diberi nafas baharu oleh gabungan artis berpengalaman dan bakat muda yang berbakat besar. Disamping itu kami cuba untuk mengangkat semula identiti muzik 'melayu' yang pernah mendominasi carta hits radio suatu ketika dahulu.” katanya.

Kekuatan utama “Jiwang Karat Vol. 1” terletak pada keberanian menghimpunkan 25 artis tempatan daripada pelbagai latar belakang dan generasi, membentuk sebuah kompilasi yang sarat dengan emosi, kenangan dan pengakuan peribadi. Setiap lagu berdiri dengan kisahnya sendiri, namun saling berkait dalam tema cinta, kehilangan, kesetiaan dan harapan yang pernah retak.

Antara barisan artis dan lagu yang mengisi album ini termasuk Fauzi Aisunam – Tak Tinggal Kamu, Ajak Melissa – Janji Mu, Kazar – Bayangan Bertamu, Mizie – Terang Dalam Sepi, Syed – Hanya Tinggal Memori, Hiem Black – Bukan Salah Hati, Qal Nizam – Satu Nama, Mie RX – Setia Menanti, Haizad – Derita Cinta, Nizan Zainal – Sayangku Kejamnya, Dzamier Azizle – Hanya Tinggal Kenangan, Yazan – Tak Ingin Bercinta Lagi, Azri Pro – Memori Cinta, Zacx Firesteel – Permata Hati, Sham Crossover – Menanti Abadi, Ipin Otto – Dusta Cinta, Afiq Atan – Garisan Takdir, Syukri – Andai Ku Mampu, Rem – Di Pusara Cinta, Afee Ramly – Bayangmu Di Hati, Danny Haiqal – Dewala Cinta, Arms – Cinta Dan Kenangan, Hadry – Cinta Suciku, Nurie Lana – Tak Mungkin Kemarau Hatiku dan Bob Azizon – Keikhlasanmu.

Kesemua 25 lagu baharu ini diharapkan dapat menjadi siulan terkini pendengar, menemani perjalanan harian dan diputarkan berulang kali ketika memandu. Dalam nada berseloroh, Ajak Melissa berkata, perjalanan dari Rawang hingga Ipoh pun sudah cukup untuk mendengar kesemua 25 lagu ini, malah sempat diputarkan semula sebelum tiba di destinasi.

Pada sesi sidang media yang berlangsung sempena pelancaran album ini, timbul satu persoalan yang menarik perhatian tentang ketiadaan penyanyi wanita dalam kompilasi ini. Menjawab perkara tersebut, Ajak Melissa menjelaskan bahawa perkara itu tidak dirancang secara khusus sejak awal. Menurut beliau, cadangan tersebut dianggap sebagai satu idea yang baik, namun ketika proses rakaman Vol. 1 dijalankan, jumlah penyanyi lelaki yang terlibat sudah mencukupi untuk membentuk kompilasi ini.

Beliau turut menyatakan bahawa perkara tersebut akan diusulkan dalam perancangan mendatang, dan tidak menolak kemungkinan kehadiran penyanyi wanita dalam “Jiwang Karat Vol. 2” sekiranya projek itu direalisasikan kelak. Perbincangan turut menyentuh persoalan tentang perbezaan antara istilah “Jiwang Karat” dan “Galau”. Fauzi Aisunam menjelaskan bahawa “Jiwang Karat” lebih disasarkan kepada pendengar lama khususnya mereka yang membesar dengan balada, lirik panjang dan melodi yang mendalam. “Galau” pula sering dikaitkan dengan generasi baharu, meskipun dari segi suasana dan emosi, kedua-duanya berkongsi wilayah yang hampir sama: patah hati, kesedihan, kerinduan dan rasa kehilangan.

Ada cadangan agar istilah-istilah ini digabungkan, misalnya “Jiwang Galau Karat” atau seumpamanya bagi memperluas capaian pasaran tanpa menjejaskan roh emosi lagu-lagu tersebut. Namun menurut Ajak Melissa, idea tersebut berdepan kekangan masa dan bajet yang terhad, menyebabkan fokus perlu diberikan kepada satu konsep utama terlebih dahulu.

Majlis pelancaran album ini turut dimeriahkan dengan kehadiran para artis, penggiat seni, peminat muzik dan komuniti setempat. Suasana yang terhasil lebih menyerupai pertemuan jiwa berbanding acara rasmi, seolah-olah setiap yang hadir berkongsi pengalaman emosi yang serupa, walau datang dari latar berbeza.

Seiring dengan perkembangan industri muzik semasa, “Jiwang Karat Vol. 1” hadir sebagai bukti bahawa lagu-lagu berteras emosi dan lirik yang jujur masih memiliki tempat tersendiri. Album ini mengajak pendengar untuk kembali mendengar dengan rasa, mengingat dengan hati, dan menerima bahawa muzik sering menjadi ruang paling jujur untuk emosi yang sukar diluahkan dengan kata-kata biasa.

Salah satu detik paling signifikan dalam kompilasi ini ialah penglibatan Kazar, satu nama besar yang mengundang rasa terharu dan keterujaan tersendiri. Tidak ramai yang mengetahui bahawa Kazar sebenarnya bermula sebagai seorang penyanyi sebelum lebih luas dikenali sebagai pelakon. Kemunculan beliau dalam Jiwang Karat Vol. 1 menandakan kembalinya beliau ke dunia rakaman selepas hampir 50 tahun, dengan kali terakhir beliau merakamkan album sekitar tahun 1985.

Pada era 80-an, Kazar pernah mencatat populariti besar menerusi lagu ikonik “Memburu Impian”, yang menjadi lagu tema filem Gila-Gila Remaja dan kekal sebagai antara runut bunyi paling diingati sepanjang zaman. Selain itu, beliau turut dikenali melalui lagu “Kali Pertama Kasih Ku Bersemi” daripada album sulungnya sekitar tahun 1984, serta “Tiap Waktu Terluang”, sebuah lagi lagu rock yang sering dipersembahkan secara langsung dan dekat di hati peminat. Ketika itu, Kazar dianggap antara penyanyi lelaki yang menyerlah, sebelum memilih untuk memberi tumpuan penuh kepada bidang lakonan.

Penyertaan Kazar dalam Jiwang Karat Vol. 1 bukan sahaja membangkitkan nostalgia, malah mengingatkan khalayak bahawa perjalanan seni seseorang tidak pernah benar-benar terputus. Ia hanya berehat seketika, sebelum kembali menemukan ruangnya. Kehadiran beliau turut mengukuhkan lagi matlamat album ini untuk menyatukan generasi, mempertemukan memori lama dengan semangat baharu, dan merayakan sejarah muzik tanah air yang kaya dengan kisah dan rasa.

Bagi peminat yang ingin memiliki material fizikal Jiwang Karat, kompilasi ini turut dipasarkan dalam bentuk pendrive eksklusif berharga RM35, yang memuatkan kesemua 25 lagu dengan kualiti audio terbaik. Pembelian boleh dibuat secara langsung melalui mana-mana artis yang terlibat dalam projek ini. Selain itu, karya-karya ini juga boleh dinikmati menerusi saluran YouTube FGI Music, peminat digalakkan untuk mengikuti dan melanggan saluran tersebut sebagai tanda sokongan terhadap muzik tempatan.

Jangan lepaskan peluang untuk memiliki album kompilasi Jiwang Karat. Sokongan anda hari ini menjadi dorongan terbesar kepada artis tempatan untuk terus berkarya dan menghadirkan muzik yang jujur serta bermakna.

Foto Kredit: Harapan Daily

Comments
* The email will not be published on the website.